Tuesday, October 20, 2009

KONVOI KEKELIP 2010

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera;

Mesyuarat AJK KEKELIP pada 20 Oktober 2009 telah mengambil keputusan untuk cuba menganjurkan satu konvoi KEKELIP untuk lawatan keluarga ke tempat menarik di dalam negara. Saya berasa ini adalah peluang yang sangat baik untuk kita bersama meneguhkan ikatan silatrurrahim sesama kita. Mungkin juga satu peluang untuk menyokong industri pelancongan domestik.

Pada ketika ini, saya masih belum membuat keputusan untuk memilih destinasi yang akan dikunjungi. Saya membuka peluang kepada rakan-rakan untuk mencadangkan tempat untuk dijadikan sebagai destinasi.

Saya memahami situasi kita yang padat dengan pelbagai tugasan, walaupun semasa cuti. Pelbagai tugasan perlu diselesaikan. Mungkin saya perlu menyediakan lebih banyak pilihan kepada rakan-rakan untuk aktiviti santai.

Oleh itu, di sini saya mencadangkan tarikh KONVOI ini adalah pada masa cuti akhir semester pertama, iaitu pada bulan Jun 2010. Mungkin minggu kedua.

Kita simpan cuti hujung tahun (Bulan Disember) untuk lawatan ke luar negara.

Tuan-tuan bolehlah mencadangkan destinasi yang diingini melalui komen di posting ini.

Cadangan tuan-tuan adalah amat saya hargai.

Terima kasih.

Saturday, October 17, 2009

Projek Tahun Hadapan (2010)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera;

Selamat bertemu kembali melalui ruangan blog ini. Agak lama saya tak update ruangan blog ini, maklum saja, tiada perkembangan baru dan masing-masing agak sibuk dengan pelbagai tugas yang perlu diselesaikan, secara rasmi atau tidak rasmi.

Minggu lepas kita semua telah melalui audit MS:ISO. Tahniah kepada semua yang telah berjaya melalui audit tersebut. Semoga kerja buat kita akan terus kemas dan terkini.

Untuk pengetahuan semua, saya sedang merancang pakej pelancongan untuk warga IPDA sekali lagi pada tahun hadapan.Tarikhnya saya belum pasti. Semuanya masih di peringkat yang terlalu awal untuk ditentukan. Saya memerlukan bantuan tuan-tuan dan puan semua untuk sama-sama menentukan lokasi lawatan untuk tahun hadapan.

Saya telah meletakkan poll pada blog ini. Diharap tuan-tuan dan puan-puan sekalian dapat memilih lokasi lawatan yang disediakan. Sekiranya tuan-tuan tidak setuju dengan lokasi yang saya cadangkan, tuan-tuan dan puan-puan semua boleh mencadangkan tempat baru dengan menulis ke dalam komen untuk posting ini.

Seperti biasa, lawatan ini dibuka untuk semua staf IPDA, Bakess dan KEKELIP.

Selamat mengundi...

Monday, May 11, 2009

Influenza A (H1N1)

Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera;

Rakan-rakan yang dihormati sekalian, maklumat mengenai status influenza A (H1N1) boleh didapati di sini... (Laman Web Kementerian Kesihatan Malaysia)

Monday, May 4, 2009

Chu Chi d' Mekong (El Shoppen d' Viet VI) Bab X

Assalamualaikum & Salam Sejahtera;

Minggu ini, perkara yang mengejutkan seluruh dunia telah tercetus; wabak selesema babi (swine flu) yang disebabkan oleh virus influenza A (H1N1). Wabak yang bermula di Mexico ini telah sampai di Asia. Wabak ini merebak dengan pantas, seiring dengan kepantasan pengangkutan udara.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporannya bertarikh 3 Mei 2009 16:00 GMT, bersamaan 3 Mei 2009 @12:00 malam Malaysia, memaklumkan di mana dua (2) buah negara lagi iaitu Ireland dan Itali telah mengesahkan kes di negara masing-masing dan menjadikan jumlah negara terlibat kepada lapan belas (18) buah negara. Jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan adalah sebanyak 898 kes dengan 20 kematian iaitu penambahan sebanyak 240 kes berbanding hari sebelumnya.

Negara Mexico melaporkan 506 kes yang disahkan melalui ujian makmal, dengan sembilan belas (19) kematian berbanding 397 kes pada hari sebelumnya. Pertambahan kes di Mexico ini adalah hasil daripada ujian yang sedang dijalankan ke atas spesimen-spesimen terkumpul yang sudah diambil dari pesakit. Sementara Amerika Syarikat pula melaporkan 226 kes positif ujian makmal influenza A(H1N1) termasuk satu (1) kematian.

Negara-negara lain yang melaporkan kes positif ujian makmal influenza A(H1N1) tetapi tiada kematian adalah seperti berikut: Austria (1 kes), Kanada (85 kes), Hong Kong (1 kes), Costa Rica (1 kes), Denmark (1 kes), Peranchis (2 kes), Jerman (8 kes), Ireland (1 kes), Israel (3 kes), Itali (1), Belanda (1 kes), New Zealand (4 kes), Republik Korea (1 kes), Sepanyol (40 kes), Switzerland (1 kes) dan United Kingdom (15 kes).
(sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia)

WHO masih lagi mengekalkan tahap amaran Influenza Pandemik di Fasa 5, semenjak 29 April 2009 dan TIDAK menyarankan sebarang tindakan sekatan dari segi kesihatan, perjalanan dan perdagangan serta penutupan sempadan yang perlu dilakukan oleh mana-mana negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa. Namun begitu telah menasihatkan orang awam yang mengalami tanda-tanda jangkitan terutamanya demam, batuk, selsema dan sakit tekak dinasihatkan untuk menangguhkan lawatan antarabangsa dan mereka yang mengalami tanda-tanda berkenaan semasa melakukan lawatan antarabangsa dinasihatkan untuk mendapat rawatan.

Pada 3 Mei 2009 Bilik CPRC Kementerian tidak menerima sebarang laporan mengenai pesakit yang dimasukkan ke wad isolasi bagi tujuan siasatan dan pemerhatian. Semua kes dibawah pemerhataian juga telah didiscaj dari hospital. Dengan ini, sehingga kini tiada kes influenza A(H1N1) dikesan di negara kita.

Saya juga turut berasa bimbang dengan wabak ini, namun kita tidak perlu berasa panik untuk melawat ke negara-negara yang belum ada kes influenza A H1N1 ini.

Berikut adalah nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

PERJALANAN KE NEGARA YANG DILANDA DENGAN INFLUENZA A (H1N1)

Rakyat Malaysia TIDAK digalakkan melawat negara-negara berkenaan pada masa ini. Jika perjalanan tidak dapat dielakkan, mereka perlu berhati-hati dan mengambil langkah-langkah berikut:
• Ketahui kawasan wabak atau kawasan yang mengalami kes Influenza A (H1N1) yang tinggi.
Elakkan melawat tempat-tempat yang sesak.
• Elakkan bersentuhan dengan pesakit Influenza A (H1N1). Jika anda terpaksa berhubung rapat
dengan pesakit, gunakan alat perlindungan pernafasan yang sesuai.
• Jaga kebersihan diri sepanjang masa. Tutup mulut bila anda batuk atau bersin. Basuh tangan
dengan air dan sabun.
• Kalau anda jatuh sakit, SEGERA dapatkan rawatan.

Untuk makluman tuan/puan sekalian, Vietnam masih lagi bebas daripada wabak influenza A (H1N1) ini.

Semoga lawatan kita dapat diteruskan dengan lancar...

Thursday, April 23, 2009

Cu Chi d' Mekong (El Shoppen d' Viet VI) Bab IX

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera;

Hari ini (23 April 2009), semua ahli rombongan telah mendapat kelulusan untuk keluar negara. AlhamdulilLah kerana setakat ini, proses lawatan masih lancar berjalan.

Saya juga menutup penyertaan untuk lawatan ini kerana tempoh yang semakin suntuk. Prosedur untuk keluar negara memerlukan kita memohon untuk ke luar negara sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan daripada tarikh bertolak ke luar negara. Ini bermakna, sebenarnya masih ada seminggu lagi untuk rakan-rakan yang belum mendaftar untuk berbuat demikian, namun sekiranya tuan/puan masih ingin turut serta, tuan/puan perlu memproses sendiri kebenaran untuk keluar negara.

Setakat ini, insuran JPA juga telah pun diambil bagi semua peserta kakitangan IPDA. Tuan/Puan bolehlah memaklumkan kepada pasangan tuan/puan yang turut serta atau anak-anak tuan yang turut serta untuk mengambil insuran berkenaan melalui pejabat masing-masing sekiranya mereka juga adalah kakitangan kerajaan. Untuk makluman, kakitangan kerajaan diberi keistimewaan untuk menggunakan insuran ini sekali dalam setahun khas untuk lawatan keluar negara. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Puan Azalina (kerani pentadbiran) yang membantu untuk mendapatkan insuran ini.

Bagi tuan/puan yang memerlukan maklumat untuk mengisi borang kebenaran keluar negara untuk pasangan, di sini saya sampaikan maklumat tersebut. Sila pastikan borang itu dihantar pada minggu hadapan sebelum 28 April untuk mengelakkan kesuntukan waktu. Suka diingat bahawa terdapat dua borang yang perlu diisi, iaitu Borang Menghadiri Seminar, Lawatan Rasmi dan Lawatan Persendirian Ke Luar Negeri (Lampiran A). Borang ini perlu diisi dalam 3 salinan dan dikembalikan kepada ketua jabatan (Ketua tempat bertugas : Guru Besar, Pengetua, Pengarah dsb).

Borang kedua ialah Permohonan Untuk Pergi Ke Negari-Negeri Komunis dan Negeri-Negeri Terhad (Lampiran B) yang perlu diisi dalam 5 salinan.

Sila download borang tersebut di http://www.shoaaibi.com/borang.htm Sila muat turun dari sana.

Isilah kedua-dua borang tersebut mengikut kehendak borang tersebut.

Saya telah mengisikan maklumat asas yang diperlukan dalam ruang kosong dalam borang tersebut, tuan/puan hanya perlu isi bahagian maklumat peribadi tuan/puan dan kemudian cetak borang tersebut. Saya berharap ini akan dapat membantu tuan/puan.

Sekian dulu untuk kali ini, semoga tuan/puan sihat sejahtera.

Friday, April 10, 2009

Chu Chi d' Mekong (El Shoppen d' Viet VI) Bab VIII

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Bulan April sudah masuk minggu kedua. Tarikh 29 Mei semakin dekat. Tinggal sebulan lebih sahaja lagi. Pada masa ini, tuan/puan para peserta lawatan perlulah memulakan persediaan untuk menyiapkan keperluan lawatan.

Untuk makluman, cuaca di Ho Chi Minh City tidak jauh berbeza dengan cuaca di tempat kita. Jadi persediaan menghadapi karenah cuaca tidak begitu membimbangkan. Pakai sahaja pakaian biasa yang dipakai di sini.

Saya telah mengedarkan "Borang Kebenaran Untuk Melawat ke Negara-Negara Komunis / Terhad" untuk diisi oleh para peserta. Ada yang telah mengembalikan borang tersebut, ada yang belum. Harap yang belum itu segera mengisi dan menghantar kepada saya melalui pigeon hole 150.

Tuan/Puan juga perlu menyemak passport antarabangsa tuan/puan. Pastikan tarikh luput passport tuan/puan adalah selepas 31 Disember 2009. Ini adalah kerana passport mestilah masih laku dalam tempoh enam bulan selepas tarikh keluar dari negara yang akan dilawati.

Semoga tuan/puan sihat...

Thursday, March 19, 2009

Chu Chi d' Mekong (El Shoppen d' Viet V) Bab VII

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

IPGM Kampus Darulaman masih bercuti. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa orang rakan pensyarah terlibat dengan kuliah masa cuti. Teruskanlah berkhidmat untuk negara. Minggu depan kita akan kembali bertugas seperti biasa.

Saya baru sahaja pulang dari membuat lawatan tinjauan untuk penyediaan pakej lawatan KEKELIP IPDA pada 17 Mac lepas. Saya menggunakan kesempatan ini untuk membuat tinjauan di dua tempat, iaitu di Ho Chi Minh City (Saigon), Vietnam dan Phnom Penh, Kemboja.

Kali ini, kita fokus kepada projek lawatan kita, iaitu Ho Chi Minh City (HCMC).

Penerbangan AK0140 AirAsia menggunakan pesawat Airbus A320 siri 200 berlepas dari LCCT KLIA pada jam 7:20 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat pada jam 8:50 pagi waktu tempatan. Waktu berlepas dari KLIA, cuaca hujan menyebabkan awal penerbangan tidak begitu selesa. Selepas keluar dari persisiran pantai Kuantan, cuaca mulai baik dan memberikan pengalaman penerbangan yang baik sehinggalah mendarat di HCMC.

Di HCMC, saya meninjau beberapa tempat untuk menginap dan mencari agen pelancongan yang bersesuaian dengan pakej kita.

Pakej lawatan kita pada dasarnya tidak berubah, masih sama dengan iklan yang dikeluarkan tempoh hari.

Pada hari pertama, kita akan melawat di sekeliling HCMC sementara menunggu waktu check-in di hotel penginapan. Oleh kerana penerbangan sampai awal pagi, saya berharap kita bersedia untuk mandi lewat pada hari itu. Saya mencadangkan kita mandi sebelum berlepas ke HCMC supaya kita lebih segar semasa lawatan sekitar HCMC.

Lawatan hari pertama diakhiri dengan lawatan ke masjid utama di HCMC. Oleh kerana hari pertama ialah hari Jumaat, saya mencadangkan agar peserta lelaki mengambil kesempatan untuk sembahyang Jumaat di masjid ini, sementara peserta wanita makan tengahari dan bersiar-siar di sekitar masjid. (Masjid ini terletak di kawasan pusat bandar). Kemudian, sekiranya ada peserta wanita yang ingin sembahyang di masjid ini, bolehlah berbuat demikian. Peserta wanita juga boleh terus ke hotel selepas sembahyang Jumaat. Sementara itu, peserta lelaki bolehlah makan tengahari.

Terdapat empat restoran halal yang beroperasi berdekatan dengan Masjid Besar Ho Chi Minh, iaitu Halal @ Saigon di 31, Dong Du Street, Bombay Restaurant di 59 Dong Du Street, Jamia Masjid Restaurant di 66 Dong Du Street dan Boon Mua Four Season di 2, Thi Sach Street. Masjid berada di Dong Du Street.

Selepas makan tengahari, kita akan terus ke hotel untuk daftar masuk dan berehat. Acara hari pertama tamat di sini.

Untuk makluman peserta lawatan, hotel penginapan terletak berhampiran dengan Pasar Ben Thanh (Ben Thanh Market). Pasar ini menyediakan pelbagai barangan, daripada barangan cenderamata, tekstil, makanan dan sebagainya. Pada waktu malam, terdapat pasar malam setiap malam di hadapan hotel. Harga barangan di sini sangat berpatutan, pandai-pandailah rakan-rakan sekalian menawar. Perlu diingat bahawa buatlah tawaran sehingga 50% daripada harga yang diletak.

Peniaga di sini menerima dua mata wang, iaitu VND (Dong Vietnam => RM250 = VND 1 juta) dan USD ( Dollar Amerika => RM3.75 = USD1).

Sesi membeli belah adalah sesi bebas.

Pada hari kedua, kita akan melawat terowong Chu Chi yang digunakan oleh gerila Vietnam semasa perang dengan Amerika. Lawatan akan mengambil masa separuh hari. Saya berharap kita akan dapat bertolak pada jam 9:00 pagi dan kembali pada jam 2:00 petang. Kembali dari melawat terowong ini, kita akan terus menikmati makan tengahari di Kedai (Restoran) Shamsuddin. Saya akan memasukkan makan tengahari ini dalam pakej.

Lawatan hari ketiga ialah menyusuri sungai Mekong dari My Tho ke Ben Tre. Lawatan ini adalah lawatan penuh satu hari dan lawatan ini merisaukan saya kerana kesukaran mendapatkan makan tengahari. Saya berharap agar rakan-rakan akan bersedia untuk membawa bekalan makanan yang cukup untuk sehari. Makan secukupnya waktu sarapan. Ini kerana agen tidak dapat membekalkan makanan halal untuk lawatan ini dan tiada makanan halal dalam perjalanan lawatan.

Saya biasanya makan coklat untuk mendapatkan tenaga sekiranya makanan halal sukar didapati. Bawalah coklat bar kegemaran untuk mengalas perut sementara kita pulang dari Ben Tre.

Saya akan memasukkan makan malam ke dalam pakej pada hari ketiga. Jadi, sebaik balik dari Ben Tre, kita akan sekali lagi ke Kedai Shamsudin untuk makan malam.

Hari keempat kita akan balik ke Malaysia. Penerbangan adalah pada jam 5:40PM waktu tempatan. Kita perlu berada di lapangan terbang pada jam 3:30PM. Perjalanan dari HCMC ke lapangan terbang akan mengambil masa 45 minit. Kita perlu check-out dari hotel pada jam 12:00 tengahari. Saya mencadangkan agar sesiapa yang ingin melakukan final shopping supaya menyiapkannya dan kita akan bergerak keluar dari hotel pada jam 11:30 pagi. Kemudian kita akan ke Kedai Shamsuddin sekali lagi untuk makan tengahari (termasuk pakej) dan kemudian, selepas makan, kita akan terus ke lapangan terbang.

Buat masa ini, saya dapati harga pakej kita dapat dikurangkan lagi sebanyak RM100, menjadikan harga sekarang ialah RM1100/= . Walau bagaimana pun, harga ini tidak dapat ditawarkan kepada rakan-rakan yang mendaftar selepas blog ini disiarkan kerana harga tiket AirAsia sekarang melebihi paras RM500.

Semoga lawatan ini berjaya.