Tuesday, October 20, 2009

KONVOI KEKELIP 2010

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera;

Mesyuarat AJK KEKELIP pada 20 Oktober 2009 telah mengambil keputusan untuk cuba menganjurkan satu konvoi KEKELIP untuk lawatan keluarga ke tempat menarik di dalam negara. Saya berasa ini adalah peluang yang sangat baik untuk kita bersama meneguhkan ikatan silatrurrahim sesama kita. Mungkin juga satu peluang untuk menyokong industri pelancongan domestik.

Pada ketika ini, saya masih belum membuat keputusan untuk memilih destinasi yang akan dikunjungi. Saya membuka peluang kepada rakan-rakan untuk mencadangkan tempat untuk dijadikan sebagai destinasi.

Saya memahami situasi kita yang padat dengan pelbagai tugasan, walaupun semasa cuti. Pelbagai tugasan perlu diselesaikan. Mungkin saya perlu menyediakan lebih banyak pilihan kepada rakan-rakan untuk aktiviti santai.

Oleh itu, di sini saya mencadangkan tarikh KONVOI ini adalah pada masa cuti akhir semester pertama, iaitu pada bulan Jun 2010. Mungkin minggu kedua.

Kita simpan cuti hujung tahun (Bulan Disember) untuk lawatan ke luar negara.

Tuan-tuan bolehlah mencadangkan destinasi yang diingini melalui komen di posting ini.

Cadangan tuan-tuan adalah amat saya hargai.

Terima kasih.

Saturday, October 17, 2009

Projek Tahun Hadapan (2010)

Assalamualaikum & Salam Sejahtera;

Selamat bertemu kembali melalui ruangan blog ini. Agak lama saya tak update ruangan blog ini, maklum saja, tiada perkembangan baru dan masing-masing agak sibuk dengan pelbagai tugas yang perlu diselesaikan, secara rasmi atau tidak rasmi.

Minggu lepas kita semua telah melalui audit MS:ISO. Tahniah kepada semua yang telah berjaya melalui audit tersebut. Semoga kerja buat kita akan terus kemas dan terkini.

Untuk pengetahuan semua, saya sedang merancang pakej pelancongan untuk warga IPDA sekali lagi pada tahun hadapan.Tarikhnya saya belum pasti. Semuanya masih di peringkat yang terlalu awal untuk ditentukan. Saya memerlukan bantuan tuan-tuan dan puan semua untuk sama-sama menentukan lokasi lawatan untuk tahun hadapan.

Saya telah meletakkan poll pada blog ini. Diharap tuan-tuan dan puan-puan sekalian dapat memilih lokasi lawatan yang disediakan. Sekiranya tuan-tuan tidak setuju dengan lokasi yang saya cadangkan, tuan-tuan dan puan-puan semua boleh mencadangkan tempat baru dengan menulis ke dalam komen untuk posting ini.

Seperti biasa, lawatan ini dibuka untuk semua staf IPDA, Bakess dan KEKELIP.

Selamat mengundi...

Monday, May 11, 2009

Influenza A (H1N1)

Assalamu'alaikum dan Salam Sejahtera;

Rakan-rakan yang dihormati sekalian, maklumat mengenai status influenza A (H1N1) boleh didapati di sini... (Laman Web Kementerian Kesihatan Malaysia)

Monday, May 4, 2009

Chu Chi d' Mekong (El Shoppen d' Viet VI) Bab X

Assalamualaikum & Salam Sejahtera;

Minggu ini, perkara yang mengejutkan seluruh dunia telah tercetus; wabak selesema babi (swine flu) yang disebabkan oleh virus influenza A (H1N1). Wabak yang bermula di Mexico ini telah sampai di Asia. Wabak ini merebak dengan pantas, seiring dengan kepantasan pengangkutan udara.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporannya bertarikh 3 Mei 2009 16:00 GMT, bersamaan 3 Mei 2009 @12:00 malam Malaysia, memaklumkan di mana dua (2) buah negara lagi iaitu Ireland dan Itali telah mengesahkan kes di negara masing-masing dan menjadikan jumlah negara terlibat kepada lapan belas (18) buah negara. Jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan adalah sebanyak 898 kes dengan 20 kematian iaitu penambahan sebanyak 240 kes berbanding hari sebelumnya.

Negara Mexico melaporkan 506 kes yang disahkan melalui ujian makmal, dengan sembilan belas (19) kematian berbanding 397 kes pada hari sebelumnya. Pertambahan kes di Mexico ini adalah hasil daripada ujian yang sedang dijalankan ke atas spesimen-spesimen terkumpul yang sudah diambil dari pesakit. Sementara Amerika Syarikat pula melaporkan 226 kes positif ujian makmal influenza A(H1N1) termasuk satu (1) kematian.

Negara-negara lain yang melaporkan kes positif ujian makmal influenza A(H1N1) tetapi tiada kematian adalah seperti berikut: Austria (1 kes), Kanada (85 kes), Hong Kong (1 kes), Costa Rica (1 kes), Denmark (1 kes), Peranchis (2 kes), Jerman (8 kes), Ireland (1 kes), Israel (3 kes), Itali (1), Belanda (1 kes), New Zealand (4 kes), Republik Korea (1 kes), Sepanyol (40 kes), Switzerland (1 kes) dan United Kingdom (15 kes).
(sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia)

WHO masih lagi mengekalkan tahap amaran Influenza Pandemik di Fasa 5, semenjak 29 April 2009 dan TIDAK menyarankan sebarang tindakan sekatan dari segi kesihatan, perjalanan dan perdagangan serta penutupan sempadan yang perlu dilakukan oleh mana-mana negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa. Namun begitu telah menasihatkan orang awam yang mengalami tanda-tanda jangkitan terutamanya demam, batuk, selsema dan sakit tekak dinasihatkan untuk menangguhkan lawatan antarabangsa dan mereka yang mengalami tanda-tanda berkenaan semasa melakukan lawatan antarabangsa dinasihatkan untuk mendapat rawatan.

Pada 3 Mei 2009 Bilik CPRC Kementerian tidak menerima sebarang laporan mengenai pesakit yang dimasukkan ke wad isolasi bagi tujuan siasatan dan pemerhatian. Semua kes dibawah pemerhataian juga telah didiscaj dari hospital. Dengan ini, sehingga kini tiada kes influenza A(H1N1) dikesan di negara kita.

Saya juga turut berasa bimbang dengan wabak ini, namun kita tidak perlu berasa panik untuk melawat ke negara-negara yang belum ada kes influenza A H1N1 ini.

Berikut adalah nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia.

PERJALANAN KE NEGARA YANG DILANDA DENGAN INFLUENZA A (H1N1)

Rakyat Malaysia TIDAK digalakkan melawat negara-negara berkenaan pada masa ini. Jika perjalanan tidak dapat dielakkan, mereka perlu berhati-hati dan mengambil langkah-langkah berikut:
• Ketahui kawasan wabak atau kawasan yang mengalami kes Influenza A (H1N1) yang tinggi.
Elakkan melawat tempat-tempat yang sesak.
• Elakkan bersentuhan dengan pesakit Influenza A (H1N1). Jika anda terpaksa berhubung rapat
dengan pesakit, gunakan alat perlindungan pernafasan yang sesuai.
• Jaga kebersihan diri sepanjang masa. Tutup mulut bila anda batuk atau bersin. Basuh tangan
dengan air dan sabun.
• Kalau anda jatuh sakit, SEGERA dapatkan rawatan.

Untuk makluman tuan/puan sekalian, Vietnam masih lagi bebas daripada wabak influenza A (H1N1) ini.

Semoga lawatan kita dapat diteruskan dengan lancar...

Thursday, April 23, 2009

Cu Chi d' Mekong (El Shoppen d' Viet VI) Bab IX

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera;

Hari ini (23 April 2009), semua ahli rombongan telah mendapat kelulusan untuk keluar negara. AlhamdulilLah kerana setakat ini, proses lawatan masih lancar berjalan.

Saya juga menutup penyertaan untuk lawatan ini kerana tempoh yang semakin suntuk. Prosedur untuk keluar negara memerlukan kita memohon untuk ke luar negara sekurang-kurangnya dalam tempoh sebulan daripada tarikh bertolak ke luar negara. Ini bermakna, sebenarnya masih ada seminggu lagi untuk rakan-rakan yang belum mendaftar untuk berbuat demikian, namun sekiranya tuan/puan masih ingin turut serta, tuan/puan perlu memproses sendiri kebenaran untuk keluar negara.

Setakat ini, insuran JPA juga telah pun diambil bagi semua peserta kakitangan IPDA. Tuan/Puan bolehlah memaklumkan kepada pasangan tuan/puan yang turut serta atau anak-anak tuan yang turut serta untuk mengambil insuran berkenaan melalui pejabat masing-masing sekiranya mereka juga adalah kakitangan kerajaan. Untuk makluman, kakitangan kerajaan diberi keistimewaan untuk menggunakan insuran ini sekali dalam setahun khas untuk lawatan keluar negara. Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Puan Azalina (kerani pentadbiran) yang membantu untuk mendapatkan insuran ini.

Bagi tuan/puan yang memerlukan maklumat untuk mengisi borang kebenaran keluar negara untuk pasangan, di sini saya sampaikan maklumat tersebut. Sila pastikan borang itu dihantar pada minggu hadapan sebelum 28 April untuk mengelakkan kesuntukan waktu. Suka diingat bahawa terdapat dua borang yang perlu diisi, iaitu Borang Menghadiri Seminar, Lawatan Rasmi dan Lawatan Persendirian Ke Luar Negeri (Lampiran A). Borang ini perlu diisi dalam 3 salinan dan dikembalikan kepada ketua jabatan (Ketua tempat bertugas : Guru Besar, Pengetua, Pengarah dsb).

Borang kedua ialah Permohonan Untuk Pergi Ke Negari-Negeri Komunis dan Negeri-Negeri Terhad (Lampiran B) yang perlu diisi dalam 5 salinan.

Sila download borang tersebut di http://www.shoaaibi.com/borang.htm Sila muat turun dari sana.

Isilah kedua-dua borang tersebut mengikut kehendak borang tersebut.

Saya telah mengisikan maklumat asas yang diperlukan dalam ruang kosong dalam borang tersebut, tuan/puan hanya perlu isi bahagian maklumat peribadi tuan/puan dan kemudian cetak borang tersebut. Saya berharap ini akan dapat membantu tuan/puan.

Sekian dulu untuk kali ini, semoga tuan/puan sihat sejahtera.

Friday, April 10, 2009

Chu Chi d' Mekong (El Shoppen d' Viet VI) Bab VIII

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Bulan April sudah masuk minggu kedua. Tarikh 29 Mei semakin dekat. Tinggal sebulan lebih sahaja lagi. Pada masa ini, tuan/puan para peserta lawatan perlulah memulakan persediaan untuk menyiapkan keperluan lawatan.

Untuk makluman, cuaca di Ho Chi Minh City tidak jauh berbeza dengan cuaca di tempat kita. Jadi persediaan menghadapi karenah cuaca tidak begitu membimbangkan. Pakai sahaja pakaian biasa yang dipakai di sini.

Saya telah mengedarkan "Borang Kebenaran Untuk Melawat ke Negara-Negara Komunis / Terhad" untuk diisi oleh para peserta. Ada yang telah mengembalikan borang tersebut, ada yang belum. Harap yang belum itu segera mengisi dan menghantar kepada saya melalui pigeon hole 150.

Tuan/Puan juga perlu menyemak passport antarabangsa tuan/puan. Pastikan tarikh luput passport tuan/puan adalah selepas 31 Disember 2009. Ini adalah kerana passport mestilah masih laku dalam tempoh enam bulan selepas tarikh keluar dari negara yang akan dilawati.

Semoga tuan/puan sihat...

Thursday, March 19, 2009

Chu Chi d' Mekong (El Shoppen d' Viet V) Bab VII

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

IPGM Kampus Darulaman masih bercuti. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa orang rakan pensyarah terlibat dengan kuliah masa cuti. Teruskanlah berkhidmat untuk negara. Minggu depan kita akan kembali bertugas seperti biasa.

Saya baru sahaja pulang dari membuat lawatan tinjauan untuk penyediaan pakej lawatan KEKELIP IPDA pada 17 Mac lepas. Saya menggunakan kesempatan ini untuk membuat tinjauan di dua tempat, iaitu di Ho Chi Minh City (Saigon), Vietnam dan Phnom Penh, Kemboja.

Kali ini, kita fokus kepada projek lawatan kita, iaitu Ho Chi Minh City (HCMC).

Penerbangan AK0140 AirAsia menggunakan pesawat Airbus A320 siri 200 berlepas dari LCCT KLIA pada jam 7:20 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat pada jam 8:50 pagi waktu tempatan. Waktu berlepas dari KLIA, cuaca hujan menyebabkan awal penerbangan tidak begitu selesa. Selepas keluar dari persisiran pantai Kuantan, cuaca mulai baik dan memberikan pengalaman penerbangan yang baik sehinggalah mendarat di HCMC.

Di HCMC, saya meninjau beberapa tempat untuk menginap dan mencari agen pelancongan yang bersesuaian dengan pakej kita.

Pakej lawatan kita pada dasarnya tidak berubah, masih sama dengan iklan yang dikeluarkan tempoh hari.

Pada hari pertama, kita akan melawat di sekeliling HCMC sementara menunggu waktu check-in di hotel penginapan. Oleh kerana penerbangan sampai awal pagi, saya berharap kita bersedia untuk mandi lewat pada hari itu. Saya mencadangkan kita mandi sebelum berlepas ke HCMC supaya kita lebih segar semasa lawatan sekitar HCMC.

Lawatan hari pertama diakhiri dengan lawatan ke masjid utama di HCMC. Oleh kerana hari pertama ialah hari Jumaat, saya mencadangkan agar peserta lelaki mengambil kesempatan untuk sembahyang Jumaat di masjid ini, sementara peserta wanita makan tengahari dan bersiar-siar di sekitar masjid. (Masjid ini terletak di kawasan pusat bandar). Kemudian, sekiranya ada peserta wanita yang ingin sembahyang di masjid ini, bolehlah berbuat demikian. Peserta wanita juga boleh terus ke hotel selepas sembahyang Jumaat. Sementara itu, peserta lelaki bolehlah makan tengahari.

Terdapat empat restoran halal yang beroperasi berdekatan dengan Masjid Besar Ho Chi Minh, iaitu Halal @ Saigon di 31, Dong Du Street, Bombay Restaurant di 59 Dong Du Street, Jamia Masjid Restaurant di 66 Dong Du Street dan Boon Mua Four Season di 2, Thi Sach Street. Masjid berada di Dong Du Street.

Selepas makan tengahari, kita akan terus ke hotel untuk daftar masuk dan berehat. Acara hari pertama tamat di sini.

Untuk makluman peserta lawatan, hotel penginapan terletak berhampiran dengan Pasar Ben Thanh (Ben Thanh Market). Pasar ini menyediakan pelbagai barangan, daripada barangan cenderamata, tekstil, makanan dan sebagainya. Pada waktu malam, terdapat pasar malam setiap malam di hadapan hotel. Harga barangan di sini sangat berpatutan, pandai-pandailah rakan-rakan sekalian menawar. Perlu diingat bahawa buatlah tawaran sehingga 50% daripada harga yang diletak.

Peniaga di sini menerima dua mata wang, iaitu VND (Dong Vietnam => RM250 = VND 1 juta) dan USD ( Dollar Amerika => RM3.75 = USD1).

Sesi membeli belah adalah sesi bebas.

Pada hari kedua, kita akan melawat terowong Chu Chi yang digunakan oleh gerila Vietnam semasa perang dengan Amerika. Lawatan akan mengambil masa separuh hari. Saya berharap kita akan dapat bertolak pada jam 9:00 pagi dan kembali pada jam 2:00 petang. Kembali dari melawat terowong ini, kita akan terus menikmati makan tengahari di Kedai (Restoran) Shamsuddin. Saya akan memasukkan makan tengahari ini dalam pakej.

Lawatan hari ketiga ialah menyusuri sungai Mekong dari My Tho ke Ben Tre. Lawatan ini adalah lawatan penuh satu hari dan lawatan ini merisaukan saya kerana kesukaran mendapatkan makan tengahari. Saya berharap agar rakan-rakan akan bersedia untuk membawa bekalan makanan yang cukup untuk sehari. Makan secukupnya waktu sarapan. Ini kerana agen tidak dapat membekalkan makanan halal untuk lawatan ini dan tiada makanan halal dalam perjalanan lawatan.

Saya biasanya makan coklat untuk mendapatkan tenaga sekiranya makanan halal sukar didapati. Bawalah coklat bar kegemaran untuk mengalas perut sementara kita pulang dari Ben Tre.

Saya akan memasukkan makan malam ke dalam pakej pada hari ketiga. Jadi, sebaik balik dari Ben Tre, kita akan sekali lagi ke Kedai Shamsudin untuk makan malam.

Hari keempat kita akan balik ke Malaysia. Penerbangan adalah pada jam 5:40PM waktu tempatan. Kita perlu berada di lapangan terbang pada jam 3:30PM. Perjalanan dari HCMC ke lapangan terbang akan mengambil masa 45 minit. Kita perlu check-out dari hotel pada jam 12:00 tengahari. Saya mencadangkan agar sesiapa yang ingin melakukan final shopping supaya menyiapkannya dan kita akan bergerak keluar dari hotel pada jam 11:30 pagi. Kemudian kita akan ke Kedai Shamsuddin sekali lagi untuk makan tengahari (termasuk pakej) dan kemudian, selepas makan, kita akan terus ke lapangan terbang.

Buat masa ini, saya dapati harga pakej kita dapat dikurangkan lagi sebanyak RM100, menjadikan harga sekarang ialah RM1100/= . Walau bagaimana pun, harga ini tidak dapat ditawarkan kepada rakan-rakan yang mendaftar selepas blog ini disiarkan kerana harga tiket AirAsia sekarang melebihi paras RM500.

Semoga lawatan ini berjaya.

Thursday, February 26, 2009

Chu Chi d' Mekong (El Shoppen d' Viet VI) Bab VI

Assalamualakum & Salam Sejahtera...

Hmmmm.... dah masuk Bab VI dah.... Sekarang dah masuk minggu terakhir bulan Februari. Minggu depan kita semua akan menghadapi audit dalaman ISO. Semoga semuanya berjaya. Tahun ini saya kembali kena buat kerja ISO selepas beberapa tahun hanya terlibat dengan PT09 dan PT11 saja... Kali ni tambah lagi dengan PUS-03... heheh... harapnya lepas dengan berjaya la audit dalaman kali ni. Sebenarnya banyak lagi nak kena belajar. Terima kasih banyak kepada Tuan Haji Faharol Razi, Pn. Hjh. Mahanee (mantan PKULDP & KULDP) yang banyak 'menurun'kan banyak ilmu... halalkan la segala ilmu yang diperturunkan....

Berbalik kepada projek lawatan ke Ho Chi Minh... Saya sudah pun menanggalkan iklan dan pendaftaran offline di papan kenyataan di bilik punch card. Sebenarnya, pendaftaran online masih dibuka kerana kekosongan masih ada. Cuma yang daftar selepas ini tidaklah akan mendapat harga pakej yang sama dengan yang telah mengambil tiket.

Seperti yang telah saya terangkan dalam bab V, AirAsia akan menaikkan tambang secara drastik selepas sesuatu tawaran istimewa. Harga tambang istimewa telah habis, jadi memang harganya telah naik secara drastik. Mungkin harga pakej selepas ini akan mencapai RM1380 atau lebih. Sebenarnya, saya sendiri tidak berani lagi untuk mengambil peserta tambahan kerana kenaikan tambang yang drastik ini.

Untuk pengetahuan rakan-rakan sekalian, tambang AirAsia pada 29 Mei<>1 Jun KUL<>SGN ialah RM615 (selepas dimasukkan caj bagasi).

Walau bagaimanapun, semasa saya memeriksa laman web MAS, mereka juga sedang mengadakan promosi hebat (untuk bersaing dengan AirAsia). Saya tidak pasti berapa tempat duduk lagi yang masih ada dalam penerbangan pada tarikh yang sama, tetapi sesiapa sahaja yang mahu ikut serta, tetapi dengan menaiki penerbangan MAS yang lebih selesa, silakan berjumpa saya. Sekiranya tambang istimewa MAS masih kedapatan, saya tidak mempunyai halangan untuk memberikan rakan-rakan terbang dengan MAS. Jangan risau sekiranya kita menaiki penerbangan yang berbeza. Penerbangan AirAsia berlepas pada jam 7:25AM, manakala MAS pada 9:05AM, jadi peserta AirAsia akan menunggu peserta MAS di Ho Chi Minh City. Sejam setengah menunggu di Lapangan Terbang Tan Son Nhat tidak menjadi masalah kerana kita boleh meninjau sekitar sambil bergambar.... Sebagai balasan, peserta MAS pula akan menunggu peserta AirAsia dalam penerbangan pulang, kerana pesawat MAS akan berlepas pulang pada jam 4:40PM manakala AirAsia pada jam 5:25 petang. Lagi pun, bas perlu mengambil peserta MAS di terminal utama, kemudian bergerak ke LCCT untuk mengambil peserta AirAsia.

Jadi cepatlah, sementara tawaran dari MAS masih ada....

Bagi yang telah menempah tiket, saya berharap agar rakan-rakan bolehlah mula mengumpulkan bayaran untuk pakej. Sila semak baki bayaran di laman web http://www.shoaaibi.com/ dan klik pada menu Vietnam 2009. Masukkan no kad pengenalan rakan-rakan menggunakan format sempang, contohnya 700110-02-5665 dan klik butang semak. Untuk makluman rakan-rakan sekalian, tuan/puan cuma perlu semak menggunakan no kad pengenalan sendiri sahaja. Saya telah mengira baki bayaran tuan/puan mengikut jumlah peserta yang tuan/puan bawa. Sekiranya tuan/puan menggunakan no kp pasangan, jumlah baki adalah sifar.

Tuan/Puan boleh membuat bayaran ansuran kepada saya secara tunai atau pun melalui akaun Bank Islam Malaysia Berhad, no. akaun 08068020247724. Sekiranya tuan/puan membayar melalui akaun Bank Islam saya, sila maklumkan kepada saya butiran bayaran tersebut melalui email ipda atau sms saya di talian 012-424 1711.

Semoga lawatan ini berjaya dilaksanakan.

Saturday, February 21, 2009

Chu Chi d' Mekong (El Shoppen d' Viet VI) Bab V

Tiket Istimewa.

Minggu lepas, AirAsia mengamuk sakan.... dua tawaran berjalan serentak, sepanjang pengetahuan saya tidak pernah AirAsia mengadakan tawaran bertindan yang sedemikian, kecuali tawaran tiket RM0.00. Tetapi minggu lepas, tawaran RM49 untuk Ho Chi Minh dan potongan 20% berjalan serentak, sudah tinggal RM49, kemudian dipotong lagi 20%. Walau pun tawaran hanya untuk "harga kerusi" namun kesan terhadap tambang keseluruhan amat ketara.

Oleh sebab harga tambang penerbangan mempunyai kesan yang cukup ketara, saya biasanya tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan tiket pada masa tawaran dijalankan. Hasilnya, pada minggu lepas 15 orang peserta lawatan telah membayar tiket penerbangan, menjadikan kos pakej ke Vietnam dapat dikurangkan, daripada harga maksimum RM1380 untuk seorang, kepada RM1200 maksimum untuk peserta yang telah mendapatkan tiket. Agak malang kerana tiket istimewa tersebut telah habis dijual pada pagi hari kedua tawaran, menyebabkan seorang peserta yang telah membayar terlepas peluang istimewa ini. Saya pula tidak sempat membantu untuk mendapatkan tiket tersebut kerana kredit dalam kad kredit tidak mencukupi untuk membeli tiket berkenaan.

Inilah model perniagaan AirAsia, kita perlu sentiasa mengawasi laman web mereka kerana apabila tawaran dibuka, kita perlu pantas bertindak untuk mendapatkan tiket berkenaan. Sekiranya terlepas, kos yang ditanggung agak tinggi. Pada minggu ini, harga tiket penerbangan untuk penerbangan Kuala Lumpur <> Ho Chi Minh City sudah meningkat kepada RM615.

Kepada yang belum mendapat tiket (ada 6 peserta sahaja lagi), diharapkan dapat menempah tiket penerbangan secepat mungkin kerana harga tiket akan terus meningkat selepas ini. Sekiranya harga terus naik melebihi purata umum, para peserta mungkin akan terpaksa membayar lebih. Setakat ini, harga tiket masih lagi di dalam jangkaan belanjawan pakej yang saya buat. (Terima kasih tidak terhingga kepada peserta yang telah menempah tiket! Diskaun RM150 untuk setiap peserta berkenaan)

Saya juga masih membuka penyertaan kepada yang belum mendaftar memandangkan masih terdapat tempat kosong dalam pakej. Walau bagaimanapun, harga tawaran telah pun habis ditempah. Kini harga pakej kembali kepada harga biasa. (Iklan pakej juga telah kembali ke asal...)

Kini sudah masuk ke hujung Februari, langkah seterusnya ialah membuat persediaan seterusnya untuk lawatan. Sepanjang pengetahuan saya, hampir semua peserta telah mempunyai passport antarabangsa kerana hampir semua pernah mengikuti lawatan-lawatan sebelum ini. Jadi, kerap-keraplah melawat ke blog ini untuk melihat perkembangan lawatan "Chu Chi d' Mekong (El Shoppen d' Viet VI) ini.

Tuesday, February 10, 2009

Chu Chi d' Mekong (El Shoppen d' Viet VI) Bab IV

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera rakan-rakan KEKELIP dan BAKESS

Saya ingin menjelaskan bahawa tarikh lawatan yang dipilih, iaitu 29 Mei 2009 hingga 1 Jun 2009 itu adalah jatuh pada minggu pertama cuti akhir semester 1/2009.

Saya akan mula mengedarkan surat perjumpaan kepada para peserta lawatan yang telah mendaftar dalam sedikit masa lagi. Tuan/Puan yang telah mendaftar diharapkan bersedia untuk melakukan tempahan tiket penerbangan dalam sehari dua ini.

Saya juga dengan berbesar hati menjemput semua kakitangan IPDA (KEKELIP dan BAKESS) untuk turut sama menyertai lawatan ini, terutama yang belum pernah mengikuti lawatan ke luar negara. Ini adalah kerana, untuk negara-negara Asean (Singapura, Indonesia, Thailand, Myanmar, Laos, Kemboja, Vietnam dan Brunei), kita tidak memerlukan passport antarabangsa untuk masuk ke negara-negara berkenaan. Sebaliknya kita hanya perlukan passport berkumpulan yang boleh dikongsi antara 5 hingga 20 orang dengan bayaran RM200. Kalau ada 20 orang yang belum ada passport antarabangsa, kita cuma perlu bayar RM10 untuk passport kumpulan. Kalau cuma 5 orang, kongsilah sebanyak RM40 seorang, masih lebih jimat daripada membuat passport baru sebanyak RM300 seorang.

Setakat Selasa 10 Feb 2009, masih terdapat 16 kekosongan tempat untuk diisi. Sila daftar online di http://www.shoaaibi.com/ klik pada menu Vietnam 2009 atau daftar secara manual di borang pendaftaran di bilik punch card.

Semoga lawatan kali ini akan turut berjaya.

Terima kasih.

Sunday, February 8, 2009

Chu Chi d' Mekong (El Shoppen d' Viet VI) Bab III

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Mulai hari ini (Ahad - 8 Feb 2009), saya membuka pendaftaran secara offline untuk rakan-rakan yang mungkin menghadapi masalah untuk mendaftar secara online di http://www.shoaaibi.com/ . Saya berharap dengan kemudahan pendaftaran melalui dua saluran (online dan offline), rakan-rakan yang ingin turut serta dalam lawatan ini akan segera mendaftar. Borang penyertaan telah ditampal di papan kenyataan bilik punch card staff. Tuan/Puan bolehlah menuliskan nama tuan/puan di sana.

Saya memohon rakan-rakan untuk mendaftar segera kerana AirAsia akan mengadakan promosi tempat duduk percuma (cuma bayar cukai lapangan terbang dan yuran pengurusan) bermula 10 Februari 2009, iaitu hari Selasa ini (Sila lawati laman web AirAsia). Oleh itu, saya berharap kita dapat memuktamadkan penyertaan dengan secepat mungkin, kerana kita perlu mendapatkan tiket-tiket tersebut lebih awal, sebaik sahaja tawaran tempat duduk percuma dibuka.

Saya sangat bimbang sekiranya kita tidak sempat mendapatkan tiket-tiket tersebut lebih awal kerana harga tiket pada sekuen berikutnya akan ditokok dengan drastik, menjadikan harganya agak mahal (untuk menampung harga tempat duduk percuma yang ditawarkan - model perniagaan AirAsia). Jika ini berlaku, kos pakej kita akan meningkat lagi.

Walau bagaimanapun, sekiranya sebahagian daripada kita dapat memuktamadkan tempahan dan dapat mengambil tempat duduk percuma itu, kos pakej kita akan dapat distabilkan bagi menghadapi kenaikan tiket yang drastik pada sekuen berikutnya.

Memandangkan saya telah menetapkan tarikh lawatan, saya berharap agar rakan-rakan yang ingin turut serta dapat mendaftar segera dan kita bolehlah terus menempah tiket penerbangan. Selepas menempah tiket penerbangan, kita tidak akan bimbang lagi dengan kos pakej, kerana semakin dekat dengan tarikh penerbangan, tiket AirAsia akan menjadi lebih mahal.

Semoga lawatan ini juga akan berjaya seperti lawatan yang telah lepas.

Tuesday, February 3, 2009

Chu Chi d' Mekong (El Shoppen d' Viet VI) Bab II

Assalamualaikum & Salam Sejahtera;

Saya menerima banyak pandangan dari rakan-rakan mengenai tarikh lawatan ke Ho Chi Minh City, dan pandangan-pandangan tersebut menyebabkan saya cuba mencari tarikh alternatif yang memberi lebih peluang kepada rakan-rakan untuk menyertai lawatan ini.

Saya telah cuba mendapatkan sebutharga daripada beberapa syarikat pelancongan seperti di sekitar Jitra dan Alor Setar. Kemudian saya juga meneliti beberapa iklan pakej di akhbar tempatan. Saya dapati, harga pakej adalah berlegar di sekitar RM1499 hingga RM1799 (nett price) bagi pakej di luar cuti sekolah, manakala pada masa cuti, surcaj antara RM90 - RM120 dikenakan.

Di pihak kita pula, ramai rakan memberi pertimbangan untuk membawa bersama keluarga untuk melawat. Sekiranya lawatan dibuat pada minggu ketiga, ramai pulak tidak dapat ikut serta kerana tidak dapat membawa keluarga tercinta bersama.

Pemantauan yang dibuat terhadap harga tiket AirAsia pada ketika ini menunjukkan bahawa harga tiket untuk bulan Jun adalah stabil, bermula RM473.00 bersih. Ini bermakna tiada perubahan harga tiket, sama ada semasa cuti atau bukan cuti. Dengan mengambil kira kenaikan RM80 bagi setiap 6 kerusi berikutnya, tambang akan menjadi RM873 untuk peserta terakhir (tanpa mengambil kira selang penumpang selain daripada kita). Dengan menggunakan konsep bayaran tolong-menolong, saya kira kita akan dapat mengatasi masalah harga pakej.

Dengan situasi yang ada sekarang, dengan ini saya mencadangkan agar lawatan kita ditetapkan pada 29 Mei 2009 (Jumaat) hingga 1 Jun 2009 (Isnin). Saya membuat cadangan ini berdasarkan pertimbangan berikut:
  1. Harga tiket AirAsia yang setara pada bulan Mei/Jun.
  2. Rakan-rakan yang ingin membawa bersama keluarga tidak menghadapi masalah cuti sekolah.
  3. Tuan/Puan yang terlibat dengan kuliah KDC masih berkesempatan menyusun semula kuliah tersebut kerana hanya dua hari (Ahad - 31 Mei dan Isnin - 1 Jun) terlibat dengan lawatan.
  4. Bas IPDA akan digunakan untuk BIG Siri 7 pada 15 Jun (tarikh lawatan kita) Bas IPDA tidak digunakan pada 29 Mei hingga 1 Jun 2009. (Tiada penggunaan bas IPDA dalam takwim).
Pada ketika ini, harga pakej yang bersesuaian adalah sekitar RM1250 - RM1380. Saya masih belum memuktamadkan harga pakej kerana masih lagi berhubung dengan beberapa agen pelancongan di Ho Chi Minh City.

Saya juga sedang berusaha untuk memasukkan makan tengahari dalam pakej dengan harga pakej yang sama.

Semoga lawatan ini berjaya dilaksanakan.

Thursday, January 15, 2009

Chu Chi d' Mekong (El Shoppen d' Viet VI)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

Pengumuman ini ditujukan kepada semua ahli KEKELIP dan BAKESS.

Seperti kebiasaan sejak 2007, KEKELIP akan menganjurkan lawatan ke luar negara. Memandangkan lawatan-lawatan ke luar negara yang telah lepas (Guangzhou 2007 dan Padang 2008) telah mendapat sambutan hangat, Biro Lawatan dan Sambutan KEKELIP 2008/09 telah mengambil keputusan untuk meneruskan aktiviti tahunan ini.

Pada tahun ini, Biro Lawatan dan Sambutan KEKELIP telah bersetuju untuk memilih Vietnam (Ho Chi Minh City) sebagai destinasi pilihan kali ini.

Konsep lawatan kali ini masih tidak berubah dengan konsep lawatan yang telah dijalankan sebelum ini, iaitu:
  1. Harga pakej lawatan adalah berdasarkan tolong menolong. Oleh itu, digalakkan mengambil tiket penerbangan lebih awal. Namun sekiranya harga tiket telah melebih par, peserta akan dikenakan bayaran tambahan mengikut kenaikan harga tiket.
  2. Kita masih memilih penerbangan AirAsia kerana tambang yang murah.
  3. Lawatan adalah tempat-tempat menarik di sekitar Ho Chi Minh dan sesi membeli-belah.
  4. Perbelanjaan makan tidak termasuk dalam pakej.

Walau bagaimanapun, saya menghadapi masalah untuk memilih tarikh lawatan yang sesuai memandangkan cuti pertengahan semester IPGM tidak sama dengan cuti sekolah, iaitu cuti sekolah hanya dua minggu, manakala cuti pertengahan semester IPGM adalah tiga minggu.

Oleh itu, saya membuka cadangan kepada tuan/puan sekalian untuk memilih tarikh berdasarkan pertimbangan tuan/puan sendiri. Saya meletakkan 'pro n con' bagi setiap tarikh yang dicadangkan.

Tarikh 1 : 29 Mei hingga 1 Jun 2009 (Jumaat - Isnin)

Tarikh ini adalah permulaan cuti IPGM dan cuti sekolah. Sekiranya tarikh ini dipilih, tuan/puan yang ingin membawa anak/pasangan tidak mempunyai masalah. Persekolahan anak-anak juga tidak terganggu.

Kekangan yang ada ialah:

  1. Tambang penerbangan AirAsia yang agak mahal (lebih sedikit) dari biasa kerana pada masa itu, adalah tempoh puncak. Ini menyebabkan harga pakej lebih mahal.
  2. Tuan/Puan perlu menyelaraskan lawatan dengan kuliah KDC yang mungkin akan melibatkan tuan/puan.

Tarikh 2 : 15 - 18 Jun 2009

Tarikh ini adalah minggu ketiga cuti pertengahan semester. Pada minggu ini, sekolah telah dibuka, tetapi IPGM masih bercuti. Sekiranya tuan/puan tidak menghadapi masalah dengan persekolahan anak-anak dan waktu kerja pasangan, tarikh ini adalah baik kerana tiket penerbangan AirAsia lebih murah pada tarikh ini.

Kuliah KDC juga tidak terdapat pada waktu ini kerana sesi persekolahan telah bermula.

Saya telah menyediakan borang pendaftaran di http://www.shoaaibi.com/ dan tuan/puan boleh klik di bahagian menu Vietnam 2009.

Saya berharap tuan/puan dapat memilih dan mencadangkan cadangan lain melalui ruangan komen dan poll yang saya sediakan.

Semoga lawatan kali ini juga mendapat sambutan dan dapat dijalankan dengan lancar.

Terima kasih.