Thursday, March 19, 2009

Chu Chi d' Mekong (El Shoppen d' Viet V) Bab VII

Assalamualaikum & Salam Sejahtera.

IPGM Kampus Darulaman masih bercuti. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa orang rakan pensyarah terlibat dengan kuliah masa cuti. Teruskanlah berkhidmat untuk negara. Minggu depan kita akan kembali bertugas seperti biasa.

Saya baru sahaja pulang dari membuat lawatan tinjauan untuk penyediaan pakej lawatan KEKELIP IPDA pada 17 Mac lepas. Saya menggunakan kesempatan ini untuk membuat tinjauan di dua tempat, iaitu di Ho Chi Minh City (Saigon), Vietnam dan Phnom Penh, Kemboja.

Kali ini, kita fokus kepada projek lawatan kita, iaitu Ho Chi Minh City (HCMC).

Penerbangan AK0140 AirAsia menggunakan pesawat Airbus A320 siri 200 berlepas dari LCCT KLIA pada jam 7:20 pagi dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Tan Son Nhat pada jam 8:50 pagi waktu tempatan. Waktu berlepas dari KLIA, cuaca hujan menyebabkan awal penerbangan tidak begitu selesa. Selepas keluar dari persisiran pantai Kuantan, cuaca mulai baik dan memberikan pengalaman penerbangan yang baik sehinggalah mendarat di HCMC.

Di HCMC, saya meninjau beberapa tempat untuk menginap dan mencari agen pelancongan yang bersesuaian dengan pakej kita.

Pakej lawatan kita pada dasarnya tidak berubah, masih sama dengan iklan yang dikeluarkan tempoh hari.

Pada hari pertama, kita akan melawat di sekeliling HCMC sementara menunggu waktu check-in di hotel penginapan. Oleh kerana penerbangan sampai awal pagi, saya berharap kita bersedia untuk mandi lewat pada hari itu. Saya mencadangkan kita mandi sebelum berlepas ke HCMC supaya kita lebih segar semasa lawatan sekitar HCMC.

Lawatan hari pertama diakhiri dengan lawatan ke masjid utama di HCMC. Oleh kerana hari pertama ialah hari Jumaat, saya mencadangkan agar peserta lelaki mengambil kesempatan untuk sembahyang Jumaat di masjid ini, sementara peserta wanita makan tengahari dan bersiar-siar di sekitar masjid. (Masjid ini terletak di kawasan pusat bandar). Kemudian, sekiranya ada peserta wanita yang ingin sembahyang di masjid ini, bolehlah berbuat demikian. Peserta wanita juga boleh terus ke hotel selepas sembahyang Jumaat. Sementara itu, peserta lelaki bolehlah makan tengahari.

Terdapat empat restoran halal yang beroperasi berdekatan dengan Masjid Besar Ho Chi Minh, iaitu Halal @ Saigon di 31, Dong Du Street, Bombay Restaurant di 59 Dong Du Street, Jamia Masjid Restaurant di 66 Dong Du Street dan Boon Mua Four Season di 2, Thi Sach Street. Masjid berada di Dong Du Street.

Selepas makan tengahari, kita akan terus ke hotel untuk daftar masuk dan berehat. Acara hari pertama tamat di sini.

Untuk makluman peserta lawatan, hotel penginapan terletak berhampiran dengan Pasar Ben Thanh (Ben Thanh Market). Pasar ini menyediakan pelbagai barangan, daripada barangan cenderamata, tekstil, makanan dan sebagainya. Pada waktu malam, terdapat pasar malam setiap malam di hadapan hotel. Harga barangan di sini sangat berpatutan, pandai-pandailah rakan-rakan sekalian menawar. Perlu diingat bahawa buatlah tawaran sehingga 50% daripada harga yang diletak.

Peniaga di sini menerima dua mata wang, iaitu VND (Dong Vietnam => RM250 = VND 1 juta) dan USD ( Dollar Amerika => RM3.75 = USD1).

Sesi membeli belah adalah sesi bebas.

Pada hari kedua, kita akan melawat terowong Chu Chi yang digunakan oleh gerila Vietnam semasa perang dengan Amerika. Lawatan akan mengambil masa separuh hari. Saya berharap kita akan dapat bertolak pada jam 9:00 pagi dan kembali pada jam 2:00 petang. Kembali dari melawat terowong ini, kita akan terus menikmati makan tengahari di Kedai (Restoran) Shamsuddin. Saya akan memasukkan makan tengahari ini dalam pakej.

Lawatan hari ketiga ialah menyusuri sungai Mekong dari My Tho ke Ben Tre. Lawatan ini adalah lawatan penuh satu hari dan lawatan ini merisaukan saya kerana kesukaran mendapatkan makan tengahari. Saya berharap agar rakan-rakan akan bersedia untuk membawa bekalan makanan yang cukup untuk sehari. Makan secukupnya waktu sarapan. Ini kerana agen tidak dapat membekalkan makanan halal untuk lawatan ini dan tiada makanan halal dalam perjalanan lawatan.

Saya biasanya makan coklat untuk mendapatkan tenaga sekiranya makanan halal sukar didapati. Bawalah coklat bar kegemaran untuk mengalas perut sementara kita pulang dari Ben Tre.

Saya akan memasukkan makan malam ke dalam pakej pada hari ketiga. Jadi, sebaik balik dari Ben Tre, kita akan sekali lagi ke Kedai Shamsudin untuk makan malam.

Hari keempat kita akan balik ke Malaysia. Penerbangan adalah pada jam 5:40PM waktu tempatan. Kita perlu berada di lapangan terbang pada jam 3:30PM. Perjalanan dari HCMC ke lapangan terbang akan mengambil masa 45 minit. Kita perlu check-out dari hotel pada jam 12:00 tengahari. Saya mencadangkan agar sesiapa yang ingin melakukan final shopping supaya menyiapkannya dan kita akan bergerak keluar dari hotel pada jam 11:30 pagi. Kemudian kita akan ke Kedai Shamsuddin sekali lagi untuk makan tengahari (termasuk pakej) dan kemudian, selepas makan, kita akan terus ke lapangan terbang.

Buat masa ini, saya dapati harga pakej kita dapat dikurangkan lagi sebanyak RM100, menjadikan harga sekarang ialah RM1100/= . Walau bagaimana pun, harga ini tidak dapat ditawarkan kepada rakan-rakan yang mendaftar selepas blog ini disiarkan kerana harga tiket AirAsia sekarang melebihi paras RM500.

Semoga lawatan ini berjaya.

No comments:

Post a Comment